Helang Terbang Melayang

Diterbitkan pada Jul 6, 2013 oleh

“Helang! Helang!”

Kami berlari ketakutan sambil menjerit memberitahu orang tua tentang kedatangan helang. Biasanya kalau helang datang ke kampung, ada sahaja ayam belaan yang hilang disambarnya. Yang menyebabkan kami lari ialah kerana takut kami pula yang disambar. Saya juga takut tetapi rasa ingin tahu sangat mendalam. Saya suka melihat helang itu terbang. Tidak seperti burung yang lain yang kerap menggerakkan sayap. Helang itu melayang dengan cantik dengan kepak yang kelihatan sungguh hebat. Saya mencari tempat yang terlindung dan memerhatikan helang tanpa berkelip mata. Kaetika itulah saya berangan-angan untuk terbang melayang seperti helang.

Persediaan memulakan penerbangan bagi helang bukan sahaja mengepakkan sayap. Helang mempunyai kemahiran yang lebih istimewa berbanding burung lain. Ia hinggap tanpa berganjak di dahan pokok atau di atas batu sehingga berjam-jam lamanya. Seorang penyelidik pernah cuba mengganggu helang yang sedang hinggap di dahan pokok. Kesabarannya tercabar menunggu berjam-jam lalu bersiul sebagai usaha supaya helang itu terbang. Helang itu tetap tidak berganjak.

Alaska_Eagles_DS7_8992A

Adakah helang itu ‘lepak’? Helang itu sebenarnya sedang menunggu pergerakan arah angin yang paling sesuai dan tepat untuk terbang dan melayang. Helang dengan santai membiarkan dirinya dibawa angin. Sebab itulah ia membuat perhitungan awal dengan mengambil kira ke mana arah angin sebelum mula terbang melayang. Dengan arah angin yang betul, helang yakin ia akan sampai ke tempat dituju.

Helang mengambil manfaat dari suhu berbeza di udara. Untuk melayang di paras berbeza, helang mengepakkan sayap dan ekor membiarkan angin membawanya ke ketinggian yang dikehendaki. Bijak sungguh helang menjimatkan tenaga. Sayap hanya mencetus, selebihnya adalah ‘tarian’ bersama angin dan suhu.

Dalam penerbangannya di paras tertinggi, mata helang mampu melihat pergerakan ikan di air dan juga pergerakan seekor cicak dari jarak ketinggian seribu kaki. Setinggi manapun helang melayang, ia akan turun di permukaan laut atau daratan untuk mencari makanan. Hebat kemampuan helang. Bagaimana ia belajar?

Transformasi Takut Menjadi Berani

Induk helang mengajar dan membimbing anaknya terbang bermula dengan mencetuskan takut pada si anak. Ini sangat menarik. Fitrah helang membuat sarang di tempat tinggi yang sukar ditembusi oleh haiwan lain. Pilihan utama untuk membuat sarang adalah di batuan curam yang sangat tinggi atau di atas pokok.

Sarangnya yang sangat besar dibuat bukan dengan ranting, tetapi dahan kayu. Sarang disusun sedemikian rupa, sangat kukuh sehingga kalau ia terjatuh dari tempatnya, sarang itu tetap dalam keadaan asal tanpa terungkai. Bulu dan daun-daun diletakkan di bahagian tengah menyebabkan ia sangat selesa untuk anak-anak. Helang membawa balik makanan dan memasukkan terus makanan itu ke dalam mulut anaknya.

Apabila bulu lembut si anak bertukar menjadi bulu keras dan sesuai untuk terbang, bermulalah sukatan pelajaran penerbangan. Si ibu kembali ke sarang selepas keluar tetapi kali ini tanpa membawa makanan. Ia terbang mengelilingi sarangnya di paras tiga kaki di atas sarang tersebut dan menunjukkan cara mengepakkan sayap. Anak-anak yang menunggu makanan melihat si ibu dan meniru perbuatannya. Angin dari gerakan sayap besar si ibu menyebabkan anaknya terapung beberapa inci di udara.

Pelajaran seterusnya, si ibu menbawa balik makanan tetapi mengubah kebiasaan memasukkan makanan terus ke dalam tenggorokan si anak. Si ibu terbang di atas sarang menunjukkan makanan ke pada si anak lalu terbang menjauhi sarang. Si anak yang kelaparan dan sudah mula pandai menggunakan sayap berusaha keras untuk mendapatkan makanan. Makanan tadi dijatuhkan pada jarak tertentu sekira-kira anak itu mampu terbang dan anak belajar cara mendarat yang betul.

Sampai masa yang sesuai, si ibu akan mengosongkan sarang dengan membuang bulu dan daun-daun supaya anaknya tidak selesa berlama-lama di situ. Ia memukul-mukul anaknya dengan sayap sehingga si anak memanjat dan menumpang di atas ibu terbang lebih tinggi. Semasa inilah anak itu sengaja dijatuhkan untuk memaksa ia terbang jika takut jatuh. Anak itu menjerit apabila hilang daya kawalan dan si ibu akan menyambar menyelamatkannya apabila anaknya betul-betul dalam keadaan bahaya.

Biasanya penerbangan solo pertama helang adalah ke dahan pokok berdekatan dan akan kembali semula ke sarang. Jika waktu malam ia belum kembali ke sarang, ibu akan menghantar makanan kepadanya. Ibu perlu melatih pula si anak untuk ‘bercerai sarang’. Sebulan selepas bercerai sarang barulah mula belajar ‘membaca’ arah arus angin. Keseluruhan proses hingga mampu menguasai keseluruhan kemahiran ini sebagai helang dewasa mengambil masa 4 hingga 5 tahun dengan bimbingan setia induknya.

Siapa yang mengajar induk helang untuk mengajar anaknya terbang? Tentulah yang mencipta helang dan mengajarnya terbang adalah Allah, Tuhan Maha Esa… TUhan yang sama yang menciptakan manusia sebagai khalifah di bumi. Manusia dan helang adalah ‘rakan sebumi’, ‘rakan semakhluk’ – disipta, ditadbir dan diurus oleh Allah Al Malikul Mulk, Pemilik dan penguasa hakiki seluruh alam. Hebat sang helang. Sangat mengkagumkan. Maha Hebat Allah yang menciptakan helang dari tiada menjadi ada. Kehebatan Allah tercatat pada ciptaan-Nya.

Kekaguman kepada hebatnya helang bukanlah membuat mahu menjadi helang. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah. Syukur diri ini diciptakan sebagai manusia. Sekadar ingin mengambil inspirasi dari helang untuk menjadikan diri lebih baik sebagai manusia.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang ada tanda-tanda bagi orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingat Allah dalam keadaan berdiri atau duduk atau berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata: Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharakah kami dari siksa neraka.” (Surah Ali Imran : 190-191)

Allah Ar Rahman Ar ARahim (Maha Pengasih lagi Maha Penyayang) yang mengilhamkan kasih sayang yang mendalam kepada induk helang dengan kesabaran dan kesetiaan membimbing anaknya bertahun-tahun mengikut ‘sukatan pelajaran’ yang sangat rapi dan tersusun.

Helang menginspirasikan ketinggian dan keteguhan peribadi di mana terserlah kesan ciptaan Allah Ar Rafi’ (Maha Tinggi). Dialah yang menciptakan helang dengan fitrah bersarang di tempat tinggi dan memberikan segala kelengkapan yang diperlukan oleh helang untuk hidup dengan selesa dan selamat di tempatnya.

Helang diberi kemampuan oleh Allah Al Qawwiy (Maha Kuat) mengambil risiko hidup di tempat tinggi demi mencapai misi penciptaannya untuk terbang tinggi dengan gagah berbekalkan sayap yang kuat. Helang menjadi inspirasi kepada manusia untuk mencapai misi penciptaannya sebagai khalifah dan hamba.

Allah Al Hakim (Maha Bijaksana) menyerlahkan sifat Maha Bijaksananya dengan mengilhamkan kepada helang keupayaan membuat perkiraan tentang suhu, arah dan arus angin sebelum mengepakkan sayap terbang melayang dengan gagah di langit biru.

Allah Al Muqiit (Maha Memberi Sumber Kekuatan) membekalkan rasa takut dan lapar sebagai pencetus kekuatan semangat belajar terbang melayang di langit terbuka. Allah juga yang menciptakan angin untuk ‘menari’ bersama helang meluncur terbang dengan santai tatapi gagah di celah awan.

Ya Allah, sebagaimana Engkau telah mengilhamkan ketinggian peribadi kepada helang, meniupkan kasih sayang, kesabaran, kebijaksanaan dan kekuatan kepada helang… kurniakan juga semua itu kepada kami agar kami dapat ‘menari’ bersama takdir-Mu dengan santai dan tenang terbang kembali ke sisi-Mu dalam keadaan redha dan Engkau juga meredhai kami. Aminn…

Tulisan : Sofiyah Rasin

Komentar