Cipta Bisnes Dari Video Inspirasi

Diterbitkan pada Jun 11, 2013 oleh

Keajaiban boleh berlaku di mana-mana dan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Pengasas dan Pengarah Kreatif, Aras Design & Multimedia Centre yang juga Ketua Jurulatih Pemasaran Video, Diyana Tahir membuktikan tiada yang mustahil dalam dunia pemasaran video yang serba kreatif. Apatah lagi, pemasaran produk menerusi aplikasi video ternyata bukan sahaja menguntungkan malah meningkatkan jenama sesebuah syarikat yang diwakilinya.

D4png

Menarik tentang dirinya, Diyana bukan sekadar menghasilkan pemasaran video untuk syarikat korporat dalam dan luar negara malah berjaya melahirkan lebih 3000 usahawan dan 38 orang perintis pemasaran video di negara ini.

Ketika ini, syarikat di bawah naungannya telahpun memberikan khidmat pemasaran video yang terbaik kepada syarikat-syarikat besar antaranya, Shell, Bank Muamalat Indonesia, Richworks Group, Etiqa Takaful, Kerajaan Selangor, FAMA, FELCRA dan lain-lain syarikat berasaskan industri kecil dan sederhana. Diyana juga telah menyediakan seminar dan bengkel multimedia untuk klien di dalam dan luar negara seperti Kementerian Kewangan Brunei, Universiti Kebangsaan Singapura, Petronas, Universiti Sains Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Teknologi Malaysia dan Maxis.

“Saya tidak ada asas langsung dalam pembikinan video. Namun, Allah menemukan saya dengan satu ujian yang akhirnya membolehkan saya mengenal diri saya sendiri. Tahun 2005 saya diuji dengan sakit. Saya alami tekanan sehingga mengganggu prestasi kerja saya sebagai ketua jabatan. Sampai satu tahap, saya tidak boleh kerja dan memaksa saya berhenti.

“Rumah saya kena lelong, kereta saya kena tarik, kawan-kawan semua menjauh pergi. Tapi saya ini orangnya amat suka membaca malah suka mengikuti seminar-seminar membangunkan diri. Walaupun tiada pendapatan dan sakit, saya masih sempat ikuti kursus ESQ pada akhir tahun 2006.

 “Di situlah saya kenal Allah dan kenal diri sendiri. Terlalu seronok dengan ESQ saya daftarkan diri sebagai sukarelawan. Setahun selepas itu, ketika saya sedang duduk bersama keluarga yang lain saya berhadapan dengan ‘pengalaman mati’. Saya melihat diri saya berada di satu tempat yang sunyi dan saya tidak boleh balik. Perit kesunyian itu menusuk ke jiwa sehingga saya tidak berhenti menangis dua hari berturut-turut.

 

Perlu Buat Sesuatu Bermanfaat 

Rentetan daripada itulah, Diyana enggan makan dan minum. Dalam solatnya dia sentiasa berdoa agar tidak merasai semula kesunyian yang teramat itu. Bagi merawat hati itulah, Diyana gemar membuka youtube untuk melihat video-video inspirasi.

Apabila perasaan mula tenang, Diyana merasakan dia perlu melakukan sesuatu. Fikirnya masa untuk dirinya sudah tidak panjang lagi, dia perlu membuat sesuatu yang bermanfaat agar apabila dirinya dihitung di hadapan Allah dia tahu apa yang mahu dipersembahkan kepadaNya.

Maka, dia mula belajar membuat video inspirasi dengan menggunakan teknik ‘movie maker’ yang mudah dan disiarkan di dalam laman web. Dari situlah segalanya bermula, sampailah hari ini pemasaran video yang dihasilkan berjaya menawan pelbagai syarikat multinasional negara.

“Dulu sebelum betul-betul fokus pada syarikat pemasaran ini, saya pernah menjual bermacam-macam benda termasuklah berniaga di pasar malam. Waktu itu, apa yang difikirkan adalah survival. Selepas saya mengikuti kursus dengan Dr Azizan Osman, saya mula belajar untuk fokus dengan perniagaan saya.

“Sebab itulah saya cuma tawarkan pemasaran video internet untuk syarikat industri kecil dan sederhana dan fokus dengan kejurulatihan. Saya tidak gentar dengan persaingan, kerana saya percaya semakin banyak kita memberi semakin banyak lagi kita akan menerima,” ujar ibu kepada seorang anak, Najwa.

Kenal Pencipta

Dahulu wanita ini pernah tinggal RM1 sahaja di dalam poket seluarnya. Hari ini, berkat mengenal Pencipta dia kenal erti kekuatan diri. Wanita ini tahu bagaimana mahu menghasilkan pulangan modal lebih puluhan ribu ringgit.

“Saya belajar kenal diri saya dengan mengenal Allah. Bersyukur juga antara perkara yang paling nikmat untuk dikecapi. Saat saya benar-benar tiada wang dan tinggal hanya RM1, dengan rumah dan kereta yang hilang, apa lagi yang perlu saya syukuri. Lantaran itulah saya fikir kembali, tak mengapalah sekurang-kurangnya saya ada badan, kaki dan tangan. Saya bersyukur kerana masih memilikinya.

“Saya juga suka mencatit apa yang saya rasakan. Apa yang saya berjaya lakukan dan apa yang tidak berjaya saya lakukan. Yang gagal jangan ditangisi, sebaliknya saya anggap itu pelajaran. Pasti saya boleh buat lebih baik di kemudian hari. Sampai hari ini amalan itu saya teruskan. Saya juga merasakan bahawa ‘mati’ itu amat siginifikan untuk menjadi kayu pengukur kepada sesebuah kebangkitan,” ujarnya yang mempunyai kira-kira empat orang kakitangan.

Wanita tabah ini juga sentiasa meletakkan matlamat sebagai asas kepada ketetapan hatinya. Dirinya percaya untuk menjadi seorang yang konsisten, dia perlu memiliki matlamat dalam hidupnya. Sudah tentu, matlamatnya ketika ini adalah untuk meletakkan syarikatnya sebagai satu jenama yang cukup disegani di negara ini terutama dalam bidang pembikinan pemasaran video internet dan melatih lebih ramai usahawan dalam bidang berkaitan.

TEA TALK - DIYANA

Kategori: Kerjaya, Motivasi

Komentar