Ajaklah Mereka

Diterbitkan pada Jun 25, 2013 oleh

Dakwah.
Membawa erti seru, ajakan, menarik, panggil…kepada jalan Allah SWT semata-mata. Bukan sekadar teori, bahkan memerlukan anggota-anggota jasad bergerak, sama ada lidah yang menyusun kalimah, tangan yang berjemari setiapnya, kaki yang melangkah, pendek kata semuanya boleh bertugas melaksanakan operasi dekwah.

bukan-jalan-mudah

Dakwah tidak memerlukan sebarang gelaran atau pangkat, tidak perlu ada panggilan Ustaz atau Ustazah, Dato’, Tan Sri, Tun, tidak terikat kepada sebarang ‘title’ kerana dakwah tidak bersifat ekslusif untuk golongan tertentu sahaja.

Dakwah bukanlah perkara baru. Dari zaman Nabi Adam AS, Baginda mendakwahkan keluarganya dan para anbiya yang diutus juga membawa mesej yang sama, mengesakan Allah dan mengabdikan diri kepadaNya tanpa mensyirikkanNya dengan sesuatu.

Dakwah bukanlah suatu kerja yang mudah. Ada yang terkorban dan ada yang dikorbankan oleh sasaran yang didakwah. Berjaya bukanlah pada ukuran berapa banyak yang didakwah, kerana yang penting adalah tugas menyampaikan seruan dakwah. Itulah pertanyaan Allah kelak. Nabi Nuh AS, sekitar 83 orang pengikut, yang sedia menerima ajakannya sedangkan anaknya menolak. Nabi Luth AS tidak berupaya membawa isterinya bersama dalam lingkungan seruannya kerana tentangan yang berterusan. Nabi Zakaria AS dan Nabi Yahya AS masing-masing dibunuh kaum Yahudi dengan digergaji dari kepala dan tubuhnya serta anaknya dipotong kepalanya. Itulah perjuangan mengangkat seruan dakwah kebenaran pada zamannya.

Maka, kita yang menjadi rantaian dakwah, yang menyambung tugas mulia ini sentiasa berdoa kepada Allah agar tidak dibebankan tugas mulia ini sebagaimana diuji kepada mereka yang sebelum dari kita. Dakwah bermula dari individu, keluarga, sahabat handai, jiran dan masyarakat. Ada yang mampu berdakwah kepada masyarakat tetapi tidak pada keluarga dan ada juga sebaliknya.

Persoalan semua ini hanya di tangan Allah semata-mata. Dialah yang menguasai hati-hati, pemilik kepada semua hati-hati manusia, yang membuka serta menutup pintu hati. Mudah-mudahan kita sentiasa dibukakan hati olehNya. Insya Allah.

Tulisan : Azlan Kahlid

Kategori: Motivasi, Tazkirah

Komentar