Al Muhaimin, Basikal dan Aku

Diterbitkan pada Jul 6, 2013 oleh

“Aduhh…”
Saya terjatuh dari basikal. Terasa sakit di sendi buku lali. Lutut juga cedera sedikit. Air mata mengalir menahan sakit.

basikal_tua_by_2ndflight

Ketika itu saya baru berumur 8 tahun. Ramai kawan-kawan yang pandai mengayuh basikal dan saya tidak mahu ketinggalan. Di masa abang meninggalkan basikal di bawah rumah, saya mengambil peluang untuk belajar. Basikal itu terlalu tinggi untuk saya duduk, jadi seperti kanak-kanak lain, saya menyelitkan kaki di celah antara dua pedal dan cuba mengayuh. Tidak stabil lalu jatuh. Saya mencuba lagi tetapi gagal. Banyak kali juga mencuba. Setiap kali abang parkir basikal bawah rumah, saya ambil kesempatan walaupun sering jatuh.

Entah bagaimana kali terakhir saya jatuh, sakitnya rasa tak tertahan. Kepala terhantuk ke tiang rumah. Lutut berdarah kerana terkena seketul batu di tnegh-tengah kolong rumah. Begitu luas kawasan bertanah di kolong rumah, seketul batu itu juga menjadi tempat mendarat lutut. Sendi buku lali pula terasa seperti tergeliat. Saya tidak mampu bangun sendiri seperti ketika jatuh sebelumnya. Saya menangis menahan sakit. Mula-mula perlahan tetapi bertambah kuat apabila tiada seorang pun yang datang memujuk atau membantu. Sedih sungguh rasa di hati terbiar sakit di bawah rumah dihempap pula oleh basikal.

“Ha! Ha! Ha! Jatuh basikal…”

Tidak cukup sakit fizikal, tawa abang menyakitkan pula hati saya. Entah bila abang sampai. Tawa abang ketika itu terasa seperti satu siksaan paling kejam dari seorang abang kepada adik. Bukankah sepatutnya dia membantu. Sekurang-kurangnya janganlah ketawa seolah-olah dia sedang melihat kejadian paling lucu di muka bumi.

Sejak itu saya berhenti mencuba. Keinginan untuk pandai mengayuh basikal dikalahkan oleh ketakutan untuk mengalami lagi sakit fizikal, lebih-lebih lagi sakit hati. Banyak kenderaan lain yang boleh digunakan nanti! Hingga kini dan mungkin selamanya saya tidak pandai mengayuh basikal. Sesekali ada juga bermimpi menunggang basikal dan dalam mimpi tersebut saya sangat gembira, namun dalam mimpi itu hati tertanya-tanya, “Bila pula aku pandai kayuh basikal ni?”

Saya hanya berpeluang mengayuh basikal dalam mimpi! Kasihan…

Merenung kembali kisah basikal, di umur dewasa saya menyedari bahawa peristiwa tersebut adalah suatu permulaan Allah ingin memberikan pengalaman dan hikmah. Jatuh dan rasa sakit adalah permulaan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Jatuh dan sakit yang bukan semestinya fizikal tetapi di tahap minda dan perasaan. Abang saya mentertawakan bukanlah sakit hati yang teramat sangat, tetapi dalam perjalanan menuju kedewasaan… rupanya ramai lagi yang sering mentertawakan sama secara terang-terangan di depan atau sembunyi-sembunyi di belakang.

Kehidupan ini perjalanan yang jauh dan basikal umpama kenderaan awal yang perlu dikayuh menuju ke garisan penamat. Kemahiran mengayuh kenderaan perlu dipelajari dan dikuasai. Adakalanya tanpa disedari, dalam proses ‘kemahiran hidup’ yang lebih bermakna tergendala di tengah jalan kerana ‘serik’ jatuh. Ya! Putus asa adalah pembunuh segala potensi dalam usaha mencapai yang terbaik dalam kehidupan.

Adakala Allah sengaja menghantar orang-orang yang ‘menyakitkan hati’ agar manusia belajar merawat hati, belajar memaafkan, belajar tentang kasih sayang tanpa syarat. Sayangnya, sebelum berjaya menguasai ‘kemahiran hati’ tersebut, ada yang cepat-cepat lari dari keadaan. Mereka yang menyakitkan hati itu mungkin sahaja sahabat baik, ahli keluarga terdekat, rakan sekerja, malah pasangan yang menjadi jodoh atau kekasih yang putus hubungan di tengah jalan. Mereka yang menghiburkan, tidak menyusahkan dan bermulut manis sering menjadi pilihan utama untuk dimartabatkan sebagai ‘orang terdekat’. Ramai yang mahu menerima yang ‘bagus-bagus’ walaupun diri sendiri tidak menyedari bahawa yang diberikan kepada orang lain banyak yang ‘buruk-buruk’.

Kasihan diri sendiri. Tidak sempat berlatih menguasai kemahiran hati. Potensi kemampuan hati untuk memaafkan tidak tercapai; potensi kemampuan hati untuk memberi dan menerima ‘kasih sayang tanpa syarat’ tidak tercapai; kemahiran merawat hati ketika diserang sakit tidak sempat dikuasai sepenuhnya. Jadilah hati ‘pelajar tercicir’ yang gagal dalam proses pembangunan peribadi insan. Hati yang ‘tercicir’ ini dibawa menjalani kehidupan dalam keadaan sangat mudah ‘demam’. Ujian sedikit sudah membuatnya tenat. Sedikit kegagalan membuatnya menyalahkan orang lain, marah-marah, sakit jiwa malah boleh sampai tahap membunuh diri. Kenderaan hidupnya rosak dan perjalanannya sering tergendala. Dia terpaksa singgah di banyak tempat untuk merawat hati kerana tidak mampu memperbaiki dirinya sendiri. Diperlukan orang lain untuk memujuk dan melayan perasaannya yang terluka sebelum dapat meneruskan perjalanan.

Merenung situasi ini, saya berbisik dalam hati sendiri dan berdoa.
“Ya Allah, cukuplah aku berbuat silap ketika tidak cukup cekal belajar mengayuh basikal. Aku memohon agar aku diberi ketabahan untuk gigih menguasai kemahiran untuk melalui perjalanan hidup yang penuh ranjau dan cabaran menuju syurga abadi. Ya Allah Ya Muhaimin, kuserahkan jasad dan ruhku dalam pemeliharaan dan pantauan Mu agar aku selamat sepanjang perjalanan… Tika aku jatuh dan terluka, Engkaulah yang merawata diri ini agar putus asa tidak membunuh semangatku untuk terus mara ke hadapan.”

Sesungguhnya Allah Al Muhaimin Maha Memelihara dan Maha Memantau seluruh ciptaanNya dari segala aspek zahir mahu pun batin. Dia tidak akan membiarkan hambaNya binasa dalam usaha pengabdian. Setiap kali terjatuh, Al Muhaimin memastikan jatuh itu sakitnya sekadar untuk belajar bagaimana untuk bangun tanpa mengenal putus asa.

Rasulullah s.a.w pernah berpesan bermaksud:
“Apabila Allah mencintai seorang hamba, Dia memberinya ujian supaya Allah mendengar pengaduannya.” (Riwayat Baihaqi dari Abu Hurairah)

Ketika Nabi Ya’kub kehilangan anaknya Yusuf a.s, dia mengadu hanya kepada Allah. Nabi Ya’kub yakin Yusuf masih hidup kerana dia mendapat maklumat dari wahyu.

“Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah Yusuf:86)

Dengan izin Allah Al Muhaimin yang Maha Memelihara dan Maha Memantau dan berkat doa ayahnya, Yusuf selamat dari segala kesukaran yang ditimpakan bukan sahaja oleh adik beradiknya yang irihati, malah dia juga elamat dari fitnah sehingga akhirnya menjadi pemerintah Mesir. Nabi Yusuf tidak pernah serik dari bangun semula setiap kali jatuh di jurang masalah.

al-muhaimin

Ya Allah Ya Muhaimin, Engkaulah Tuhan Yang Maha Memelihara. Pengetahuan Mu mencakupi seluruh alam, Qudrat Mu meliputi segala yang mujud, sinarilah hamba Mu ini dengan nama Mu yang mulia ini supaya kami mampu mengetahui kedalaman jiwa, rahsia yang tersimpan di dalam hati sehingga kami dapat menjaga bisikan hati, memelihara anggota jasad kami, lalu kami arahkan semua tindakan untuk perkara-perkara yang Engkau redhai. Dengan Qudrat Mu bimbinglah kami zahir dan batin agar dapat melaksanakan segala selari dengan syariat Mu.

Kesakitan jatuh basikal telah berpuluh tahun berlalu, namun pelajaran darinya dapat dibawa dan dinikmati hingga kini. Segala puji bagi Allah Al Muhaimin…

 

Tulisan : Sofiyah Rasin

Komentar