Manisnya Jika Ia Disimpan

Diterbitkan pada Jun 19, 2013 oleh

Jangan biarkan hatimu lalai mengingati Tuhan wahai teman,
bila sampai ketika saatmu lupa padaNya,
nikmat yang diterima itu sebenarnya ujian,
walau dirimu merasa nikmat itu penuh dengan keindahan.

Jangan biar hatimu hitam teman,
kerana apabila ia hitam,
sukar kembali engkau menemukan cahaya di dalam kegelapan,
kerana cahaya yang disuluh ada Penyuluhnya,
jika Penyuluhnya tidak memberi suluhan,
kita hidup bertemankan gelap yang gelita.

Jangan berdukacita teman,
kerana dukacita hanya menambah kegusaran dan derita,
masalah menjadi semakin bertambah,
jalan penyelesaian menjadi semakin sempit,
fikiran semakin kusut,
membuat jiwa semakin sengsara

Jangan menangis berlebihan,
kerana airmatamu itu berharga bersama Tuhan,
bukan untuk insan yang mengecewakan.

Senyumlah wahai teman,
kerana senyum itu penawar jiwa yang kelam,
memaniskan wajah yang suram,
menenangkan hati yang resah.

tumblr_m9cy7p2CJs1rsl9zbo1_500

Bergembiralah wahai teman,
kerana gembira itu ubat kepada rasa sugul,
periang kepada diri yang diam,
ceria kepada insan yang dikejauhan.

Kongsikan wahai teman,
apa yang engkau miliki,
bukan cerita manis sahaja,
tetapi apa yang menjadi pahit bagimu,
kerana cerita itu pergi bersama dengan apa yang engkau ucapkan,
tidak lagi bersarang bersama jiwa yang kesedihan.

Bersabarlah wahai teman apabila engkau tidak memiliki cinta manusia yang berpagar,
kerana cinta manusia berpagar, perlu dilalui pada jalan yang baik,
tidak selalunya melalui jalan pintas seperti manusia yang banyak.

Terimalah wahai teman,
suatu saat, apa yang engkau telah miliki berada di genggaman,
walaupun bukan seperti apa yang diidamkan,
cukuplah sekadar bersyukur,
lantaran apa yang ada, adalah nikmat pemberian.

Nukilan : Azlan Kahlid

Kategori: Motivasi

Komentar