Monolog Bersama Rabbi

Diterbitkan pada Jun 19, 2013 oleh

Wahai Tuhan…
Ya Arhamar Rahimin
Ku hadapkan wajahku di hadapan Mu
Wajahku yang penuh dengan dosa dan maksiat
Memohon keampunan Mu atas segala dosa-dosaku yang lalu
Dosa kedua ibu bapaku
Dosa abang-abangku
Dosa kakak-kakakku
Dosa adik-adikku
Dosa jiran-jiranku
Dosa umat ini
Ampunkan kami ya Allah.

Wahai Yang Maha Menguasai Hari Pembalasan
Dosa-dosaku melagkaui bumi dan langit Mu
Terlalu berat bagiku menanggung segala kesalahanku di hadapan Mu
Sedang diriku cuma mengharap perhatian dari Mu
Mendapat jagaan Mu
Serta mengharapkan agar diriku sentiasa dalam jalan Mu
Sentiasa beroleh maghfirah Mu
Sentiasa bersama redha Mu
Aku inginkan syurga Mu
Amalanku ini tidak melayakkan diriku ke syurga
Namun aku tidak ingin ke neraka Mu
Selamatkan aku daripada azab neraka Mu yang pedih.

Wahai Yang Maha Perkasa, Ya Aziz
Diriku cuma insan hina di hadapan Mu
Merasa sangat kerdil bila berdepan dengan Mu
Betapa diriku cuma berdoa dan sentiasa meminta dan merayu pada Mu.

Ya Ghafar
Telah berulang kali diriku menangis di hadapan Mu
Namun seringkali ada masa yang banyak aku leka jua
Aku meminta syurga Mu
Sedang amalanku cuma selayaknya dimiliki penghuni neraka.

Ya Muqallibal Qulub
Tetapkanlah hatiku
Istiqamahkan aku di jalan Mu
Jauhkan aku daripada sikap yang membinasakan diriku
Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati
Peliharalah iman kami ini.

Du__a_by_curly_gurly

Ya Basiir Ya Sami’
Engkau jualah yang mengetahui segala isi hati kami
Kami memohon kepada Mu untuk memperkenankan doa dan hajat kami
Aku mungkin dapat bersembunyi dan menyembunyikan di hadapan manusia yang banyak
Tetapi aku tidak dapat lari untuk bersembunyi di dalam pengetahuan Mu
Maka sebab itu
Aku memohon agar Engkau memberikan petunjuk dan hidayah Mu kepadaku.

Ya Allah
Aku benar-benar malu di hadapan Mu
Engkau adalah Tuhanku dan aku cuma hambaMu.

Ya Razaq
Wahai Yang Maha Pemberi Rezeki
Luaskan rahmat Mu kepadaku
Tambahkan ilmu yang bermanfaat buatku
Serta rezeki yang melimpah ruah.

Ya Fattahu Ya ‘Aliim
Bukakanlah pintu hatiku
Pintu hati ahli keluargaku
Sahabat-sahabatku dan mereka yang bersama Mu
Untuk diberi ruang hidayah Mu
Daripada tersesat dengan kehidupan yang mengecewakan
Jangan Kau kunci pintu hati kami kerana kelemahan kami
Maafkan kami ya Allah.

Ya Allah
Sucikanlah hatiku
Berkatilah rezeki yang aku terima dan aku berikan untuk mereka
Jadikanlah aku bersifat pemurah dan bukannya bakhil
Hindarilah aku daripada bebanan hutang
Dari kemalasan, dari penyakit wahan yang merosakkan.

Ya Allah
Satukan hatiku dengan pemilik hatiku yang Engkau redhai
Yang akan mengingatkanku kepada Mu
Yang turut membawa risalah Mu
Yang mencintai Rasul Mu
Yang menenangkan jiwaku
Yang mencintai diriku
Yang membantu diriku tatkala dalam aku resah dan derita
Jadikanlah kami dan keturunan kami keturunan yang soleh
Yang tetap mengerjakan solat
Yang tetap melaksanakan perintah Mu
Jangan Kau bebankan kami dengan bebanan ujian yang tidak kami sanggup memikulnya ya Allah
Jadikanlah cinta kami cinta kepada Mu semata-mata ya Allah
Suburkanlah cinta kami kepada Mu.

Ya Allah
Peliharalah mata ini daripada memandang perkara yang haram
Telinga dari mendengar suara yang mendatangkan dosa
Lidah dari berbicara dusta dan berbohong
Aku memerlukan Mu Ya Allah
Kerana aku manusia yang tak berdaya.

Ya Allah
Inilah aku
Aku persembahkan jiwaku kepada Mu
Jiwa yang memerlukan perhatian dari Mu semata-mata
Aku bermohon keampunan dan kemaafan
Terimalah amalanku, solatku, ibadahku, hidupku, matiku
Perkenankanlah taubatku kepada Mu Ya Allah…

Cukuplah Engkau bagiku, dan Engkau jualah sebaik-baik penolongku.

Kategori: Motivasi

Komentar