Nick V dan Perang Badar

Diterbitkan pada Jul 12, 2013 oleh

Dia lahir tanpa tangan dan kaki. Memandang lelaki kudung kaki dan tangan dalam kisah ini sebaliknya membuat saya terasa segan, kagum dan hormat. Membaca tentangnya membawa perasaan dan minda saya ke Bandaraya Kuala Lumpur dengan pelbagai ragam peminta sedekah yang menimbulkan simpati terutama yang cacat anggota.

nick-vujicic

Lelaki ini dikenali sebagai Nick V, kudung kaki dan tangan. Gelanggang hidupnya adalah di pentas memberi inspirasi dan semangat hidup kepada orang lain, bukan mengharap belas simpati di lorong dan jalan.

Nama penuhnya ialah Nick Vujicic. Ketika lahir pada tahun 1982 di Melbourne, Australia, ibu bapanya terkejut besar kerana sepanjang dalam kandungan, tiada langsung tanda-tanda luarbiasa yang dikesan oleh doktor. Bagaimana anak ini akan hidup normal dengan kecacatan itu? Tiada siapa menyagka bayi cacat itu akan menjadi inspirasi dan motivasi kepada pelbagai golongan manusia, bukan sahaja di daerah kelahirannya, malah di dunia antarabangsa dalam usia 31 tahun.

Nick tidak menghabis masa meratapi keadaan. Dia menghargai apa yang dimiliki dan memanfaatkannya di tahap potensi tertinggi. Nick belajar menyesuaikan diri menguruskan keperluan peribadi seperti memberus gigi, menyikat rambut, menaip komputer, berenang, bersukan dan sebagainya dengan caranya sendiri. Nick pernah menjadi pemimpin pelajar di sekolah dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan. Dia memiliki ijazah sarjana muda dalam dua bidang iaitu perakaunan dan perancang kewangan.

Benarlah janji Allah yang tercatat di dalam Al Quran bermaksud:

“Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu…” (Surah Ibrahim : 7)

Dengan rahmat Allah, Nick terus mencatat sejarah kejayaan. Seawal usia 19 tahun, Nick merialisasikan impiannya untuk memberi semangat dan harapan kepada orang lain bermodalkan pengalamannya memalui kehidupan sebagai seorang yang ‘kurang upaya’.

“Saya tahu tujuan hidup dan saya juga tahu apa makna keadaan dir yang begini.” Inilah kata-kata yang lahir dari hatinya.

Sejak usia 19 tahun Nick mula berkunjung mengelilingi dunia membawa inspirasi dan harapan dalam ucapan-ucapannya. Dalam rangka aktivitinya, dia berpeluang bertemu semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin-pemimpin yang salah seorang daripadanya ialah Timbalan Presiden Kenya. Di usia 23 tahun, Nick menerima anugerah “Young Australian of The Year”, pengiktirafan terhadap pemuda yang menyumbang kepada masyarakat dan negara. Anugerah ini tidak diberikan kecuali kepada mereka yang benar-benar penuh inspirasi.

Kini di usia 31 tahun, Nick mencapai kejayaan mengatasi generasi sebayanya. Dia berhijrah dari Australia ke Amerika menerajui sebuah organisasi kebajikan bertaraf antarabangsa. Dalam masa yang sama, dia memiliki syarikat motivasi milik sendiri. Tahun 2010 sahaja, Nick telah mengunjungi 20 negara membawa bersamanya inspirasi dan harapan kepada orang lain!

Nick berkongsi pengalaman tentang pentingnya wawasan dan mempunyai tujuan hidup yang jelas. Pengalaman dirinya sendiri menjadi contoh dan bukti kata-katanya.

Cabaran bukan masalah tetapi peluang untuk lebih maju dan seterusnya membantu sesama manusia. Apa yang biasa dipandang sebagai kegagalan adalah peluang dan pengalaman untuk mempelajari perkara baru dalam hidup. Jangan biarkan rasa takut atau bimbang menguasai diri dan melumpuhkan semangat hidup.

Personalitinya yang sentiasa ceria, bersemangat dan kelakar membuatnya disayangi semua peringkat usia dari kanak-kanak hinggalah dewasa.

Tidak hairanlah ketika saya membacakan kisah lelaki ini, perasaan kagum, hormat dan segan terasa di sudut hati. Maha Hebat Allah yang menciptakan manusia sehebat Nick yang fizikalnya tidak sempurna seperti insan lain, namun kekuatan fikiran dan keyakinan dirinya amat luar biasa. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Untuk insan lain, kaki dan tangan memberi kudrat melakukan aktiviti harian. Nick dapat malakukan perkara yang sama tanpa kelengkapan fizikal. Sesungguhnya kudrat hakiki adalah milik Allah Al Qadir (Maha Mampu). Bukan kaki dan tangan manusia yang berupaya, tetapi segalanya atas izin-Nya.

Tanda kehebatan Allah Al Qadir juga terbukti dalam peristiwa Perang Badar ketika 313 tentera Islam mampu mengalahkan 1000 tentera musyrikin. Kisah ini dirakamkan dalam maksud ayat Al Quran:

Bukan kamu yang membunuh mereka, tetapi Allah lah yang membunuh mereka. Bukan engkau yang melontar (wahai Muhammad), tetapi Allah lah yang melontar. (Surah Al Anfal : 17)

Allah memberi kemampuan kekuatan kepada tentera Islam dengan 1000 malaikat, hujan dan meniupkan kekuatan semangat dalam hati umat Islam serta meniupkan ketakutan di hati musuh.

Dengan membaca doa dari Surah Al Anfal di atas, Rasulullah saw menggenggam pasir dan menaburkan ke arah musuh. Jarak musuh dengan pasir jauh. Pasir itu tidak sampai pun secara zahir ke tubuh tentera musyrikin, namun kesan kepada mata mereka seperti masuk pasir sehingga memberi peluang untuk tentera Islam yang hanya 313 oang menyerang dan memenangi Perang Badar.

Imam Abu Hanifah r.a mengulas juga tentang hal ini dengan katanya:
“Perbuatan hamba adalah tindakan zahir, hakikatnya yang menjadikan itu adalah Allah.”

Hidup adalah umpama perjuangan. Memerlukan kekuatan bukan sahaja kekuatan lahiriah, tetapi yang lebih penting adalah kekuatan semangat dan keyakinan. Dengan izin dan rahmat Allah, Nick juga menerima anugerah kekuatan semangat. Berapa ramai manusia yang memiliki kesempurnaan fizikal, namun tidak mampu mencapai kejayaan seperti Nick.

Dengan mensyukuri jasad fizikal yang ada, walaupun tanpa tangan dan kaki, Nick telah ‘membayar yuran’ untuk memiliki kekuatan semangat dan keyakinan kental menguruskan hidupnya.

Allah Al Baaits (Maha Membangkitkan) membangkitkan semangat kehidupan kepada siapa juga yang Dia kehendaki. Allah membangkitkan semangat untuk memahami makna kehidupan hingga hidup dapat diisi sebaiknya sebagai manusia.

Allah Al Rafi’ (Maha Memuliakan) tetap mengangkat kedudukan makhluk-Nya, dibuktikan melalui Nick. Kecacatan Nick tidak menjadikan lelaki ini dipandang rendah kerana hakikat kehinaan, kerandahan adalah dalam genggaman Allahh Al Khofidh (Maha Menghinakan).

Allah As Syakur memberikan kekuatan kepada Nick untuk menghargai apa yang ada walaupun hanya sekujur tubuh tanpa tangan dan kaki. Namun Allah Al Muqit (Maha Menguatkan) dan Allah Al Waliy (Maha Menjaga) memberikan kemampuan untuk Nick berdikari melakukan aktiviti harian dengan cara sendiri.

Ya Allah, segala puji bagi-Mu yang menciptakan makhluk sehebat Nick sebagai pengajaran untuk kami menyedari hakikat bahawa hakikat kemampuan adalah mulik-Mu. Pelihara hati kami dari kesombongan tatkala kami mendapat kejayaan. Ya Syakur, beri kami kekuatan untuk mensyukuri setiap anugerah-Mu dan pelihara kami dari menjadi hamba yang lupa diri. Ya Baaits, hidupkan semangat keyakinan di hati ini. Ya Rafi’, Ya Khofidh.. Kami menyerahkan diri kepada-Mu. Muliakan kami dengan keimanan dan taqwa dan pelihara kami dari kehinaan kekufuran. Semoga kemenangan dunia dan akhirat menjadi milik kami dengan izin dan rahmat-Mu ya Allah. Aminn..

Tulisan : Sofiyah Rasin

Kategori: Motivasi

Komentar