Pertemuan 2 Kekasih Agung

Diterbitkan pada Jun 25, 2013 oleh

Sahabatku
Kalian merupakan pemuda pemudi ummah
Maka janganlah merasa lemah
Kalian merupakan pembawa obor amanah
Maka janganlah padamkan nyalaan cahaya yang menerangi.

Sahabatku
Ambillah ruang masamu untuk beristighfar.Merapati bicara bersama Dia yang sedia mendengar luahan rintihmu. Ingatlah sahabatku, Dia bukan tidak mendengar atau pekak sebagaimana lemahnya makhluk. Bahkan Dia sentiasa berbicara denganmu, mengawal urusan hidupmu. Dialah yang memelihara imanmu. Dialah yang menguatkan kedudukanmu dan Dialah yang menyembuhkan kedukaanmu.

Sahabatku
Berusahalah untuk melihat segala permasalahan hidupmu. Apa jua yang engkau rasai, kepenatan, kesedihan, tekanan, cercaan sebagai suatu celupan tarbiyah dari Allah yang sangat istimewa. Insan yang istimewa di sisi Allah yang sentiasa menerima dugaan, mehnah dan tribulasi dalam kehidupan. Bukankah itu suatu petanda bahawa urusan hidup ini yang penuh mehnah lalu di saat terhamparnya jalan kemudahan, kesenangan dan penyelesaian sebelum ini sebagai bukti Allah sentiasa mengawalnya dan mengaturkan yang terbaik untuk insan istimewa dan terpilih olehNya?

Sahabatku
Jangan hidup bersama emosi yang luntur, jangan kekal dalam kesedihan. Kesedihan akan membunuh keriangan dan mematahkan sendi untuk bermujahadah.

Kita tak akan hidup dengan pujian manusia, ataupun mati dengan cacian mereka.

Sahabatku
Renungkan perjalanan insan agung ini. Saatnya Nabi lahir dalam keadaan bapanya Abdullah tiada. Saatnya ia tidak pernah merasai kasih sayang seperti anak-anak biasa memerlukan belaian ibu, keranan Aminah telah wafat. Saat ia membesar dalam keadaan yatim piatu.

Saat Nabi kehilangan insan yang tersayang dalam keadaan Nabi amat memerlukan mereka. Saat Nabi kesedihan di saat dia memerlukan teman bicaranya yang sejati si isteri Siti Khadijah yang amat dicintai pergi mengadap Ilahi. Saat Nabi teraniaya oleh ancaman Quraisy dalam keadaan perginya bapa saudaranya Abu Talib yang senang melindungi anak saudaranya itu. Saat Nabi dan para sahabat berdepan tekanan 3 tahun lamanya terpulau oleh kaum sendiri. Saat dia dilontar batu sehingga luka tubuhnya di Thaif, saat dia diancam bunuh oleh rancangan musuh yang mendapat perancangan sama dari Syaitan, saat dia diletakkan bangkai haiwan ketika solatnya, saat najis bertebaran di laman rumahnya oleh tindakan perempuan Yahudi yang membencinya. Bukankah itu lebih besar dari apa yang kita rasai? Tidakkah kita berfikir sejenak, apakah yang dirasakan Nabi di hatinya? Tetapi, Allah itu tidak pernah tidur dan tidak pernah leka wahai sahabatku. Dia mengatur urusan hidup hamba yang dikasihinya. Bimbanglah kiranya kita hidup dalam keadaan tiada apa-apa ujian, namun Allah tidak pedulikan kita.

Saat Nabi bersugul hati, dalam kesedihan, Allah memujuk hati Nabi yang sangat dikasihiNya. Allah membekalkan kepada Nabi perjalanan Isra’ Mikraj sebagai berita gembira untuknya. Hati Baginda terhibur, bertemu Tuhan yang menciptakannya. Allah memotivasikan Nabi dengan peristiwa agung itu. Saat pertemuan yang menemukan pertemuan di antara 2 kekasih.

Muhammad kembali ceria. Dia bagai disuntik semangat yang tidak padam. Membekalkan rasa cintanya yang terpendam untuk dikongsi bersama umatnya. Umat yang amat dicintainya, yang diulang sebutannya sebelum wafat. Cintanya Baginda pada umatnya.

Pertemuan Pasangan Kekasih ini
Bukan bererti Nabi terlepas dari daripada mehnah sementara. Bahkan baginda terpaksa menghadapi saat berperang dengan kaumnya sendiri. Melawan kaumnya yang terperosok dalam alam syirik, bahkan Baginda turut disihir. Baginda turut diracun sehingga membawa kepada sakit yang berpanjangan sebelum wafat. Itulah Muhammad pilihan Allah. Yang mendapat suhan daripada Allah, yang mendapat penjagaan daripada Allah.

Maka sahabatku
Jangan berduka kerana sirimu ada diriku. Dirimu ada sahabat-sahabatmu. Dirimu ada yang menemanimu. Dan yang paling istimewa, dirimu ada Allah yang sentiasa memeliharamu!

La Tahzan

Nukilan : Azlan Kahlid

Kategori: Motivasi

Komentar