Hilangkan Penyakit Wahan Itu

Diterbitkan pada Jun 17, 2013 oleh

Ramai orang yang menyangka atau berfikiran negatif bahawa dengan berfikir soal kematian ia akan melemahkan badan kita daripada bekerja dan hanya mampu menumpu urusan tikar sejadah semata-mata. Ramai yang berkata bahawa mengingati mati akan merencatkan motivasi kepada sikap untuk mencapai kejayaan. Malah ada juga yang berpendapat bahawa berfikir tentang kematian, menjadi sebab mengapa orang Islam lemah dan tidak berjaya.

tumblr_m8f54wyunz1rw9medo1_500Inilah suatu kefahaman yang salah dan tidak wajar menjadi satu i’ktikad atau pegangan hidup kita. Asas kepercayaan yang betul akan membawa kepada hala tuju kehidupan kita. Sedangkan matlamat kehidupan yang ditekankan dalam Islam adalah untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Apakah salah sekiranya kejayaan, nikmat, serta perolehan di dunia ini sebagai suatu perkara yang dibenci Islam? Kita telah menghalang pemikiran kita dengan menerima serta mempercayai bahawa sesuatu perkara perlu dibiarkan sahaja kerana dalam urusan Allah SWT semata-mata dan membiarkannya yakni redha tanpa sebarang usaha, tetapi dalam masa yang sama masih juga mengharapkan agar mendapat kejayaan. Sifat tawakkal yang disalah ertikan sebagai mengharapkan sesuatu keajaiban berpihak kepada diri tanpa usaha merupakan suatu penyakit yang merbahaya.

Berbalik kepada persoalan kematian, Nabi Muhammad SAW pernah menyifatkan bahawa manusia yang paling cerdik adalah mereka yang selalu mengingati kepada kematian. Kematian adalah suatu pengakhiran kepada kehidupan dunia, untuk suatu peralihan ke destinasi yang baru iaitu alam barzakh dan seterusnya alam akhirat. Destinasi-destinasi alam yang berbeza ini membawa makna bahawa erti kehidupan tidak akan pernah berakhir hanya setelah keluarnya roh daripada badan ketika di dunia, tetapi pengembaraan yang akan disertai oleh kita nanti merupakan suatu pengembaraan yang panjang.

Pengembaraan yang panjang ini memerlukan bekalan yang mencukupi bagi setiap destinasi. Bekalan hanya dimiliki di suatu alam iaitu dunia. Sebagaimana Nabi Muhammad SAW pernah membuat analogi yang menarik terhadap pengembaraan manusia sebagai hamba di dunia ini sebagai suatu pelayaran kapal yang berangkat ke sebuah destinasi lalu singgah di sebuah pulau indah, di sana manusia meredahi pulau mencari bekalan dalam keasyikan nikmat, ada yang mendapat bekalan sebaiknya, tetapi ada yang terpedaya dengan aneka nikmat, sehingga kapal belayar mengambil mereka dalam keadaan mereka tidak membawa bekalan sebanyaknya dan ada yang tiada.

Motivasi di sebalik kematian itu adalah suatu maksud yang tersirat supaya manusia mempersiapkan segala kekuatan, bekalan, dengan bersungguh-sungguh bagi merapati Allah dalam keadaan yang baik.

Dunia adalah sebagai alat atau jambatan kepada akhirat. Mematikan hubungan dunia akan meruntuhkan jambatan ke akhirat. Segala perhiasan yang ada di dunia adalah berbentuk pinjaman. Ada yang Allah berikan percuma, manakala untuk mendapat nikmat yang lebih besar lagi di akhirat, manusia harus menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang sewajarnya. Mengenali batasan halal dan haram, membezakan baik dan buruk, menyeimbangkan keperluan diri dan tidak bersikap berlebih-lebihan membawa kepada erti Al Falah yakni kejayaan hakiki dalam tafsiran pengabdian kepada Allah SWT.

Asas keimanan yang kukuh, kefahaman yang syumul ke atas makna kepada tugas sebagai hamba dan manusia ini jelas difahami oleh para sahabat sehingga membawa kepada gelaran Fursanun Fillail, Ruhbanun Fin Nahar (menjadi panglima jihad di siang hari dan menjadi ahli ibadat di malam hari). Mereka menempa kejayaan berganda dengan kekuasaan Islam, sehingga berjaya menyebarkan Islam di muka bumi ini dengan penaklukan 2/3 dunia di bawah wilayah Islam, kejayaan dalam bidang sains, astronomi, al falak, mantik, ilmu geografi, fizik, kimia, biologi, matematik, falsafah, muzik, statistik, perubatan dan pelbagai lapangan ilmu sehingga kota-kota seperti Cordova di Andalusia, Baghdad di Iraq, Istanbul di Turki, menjadi sebutan dalam lembaran sejarah di bawah sistem khalifah Islam. Semangat jihad (kesungguhan) menjadi tulang belakang kepada perjuangan membawa nama Islam dalam setiap aspek dan nilai kehidupan.

Para ahli tasawuf yang faqih begitu menghayati kesederhanaan dalam berurusan dengan muamalat kehidupan. Mereka yang mengerti tidak akan memisahkan 2 dunia ini sebagai jalan mendapatkan cinta daripada Allah SWT. Allah SWT menghiasi manusia dengan fitrah supaya manusia memakainya dengan selayaknya dan bukan sebagai alasan melupakan perintahNya dan laranganNya. Cinta kepada manusia dengan cara yang salah tanpa berpaut kepada Allah SWT, maka tidak membawa makna kepada takrifan ibadah. Cinta yang diikat dengan akidah, asas kepercayaan yang kukuh, dalam menjaga ikhtilat, batasan-batasannya akan mendapat mardhatillah (redha Allah SWT) yang didamba serta beroleh maghfirah (keampunanNya).

Sehubungan dengan itu, marilah sama-sama kita meneladani sirah perjalanan hidup Rasulullah SAW, para sahabat baginda dan tabi’ tabien yang mendapat petunjuk. Kita harus meyakini bahawa penyempurnaan manusia pada penciptaannya adalah menjadi hamba yang bertakwa kepadaNya, baik kalangan lelaki mahupun perempuan.

Tulisan : Azlan Kahlid

Kategori: Tazkirah

Komentar