Kita Istimewa

Diterbitkan pada Jun 20, 2013 oleh

Ada kumpulan atau golongan manusia daripada laki-laki yang enggan menerima amanah pernikahan kerana takut kepada perjanjian untuk memikul amanah yang berat, apalagi bila sebaik sahaja terijab qabulnya lafaz persetujuan, maka terpikullah segala dosa dan pahala yang akan di kongsi bersama. Bermain di fikiran was-was perasaan dosa menggunung dari diri sendiri, apatah lagi hendak memikul dosa orang lain pula.

us

Ada juga golongan yang sebegini. Kata sesetengah pula, orang jenis macam ni “tawadhu'”. Saya senyum tidak bersetuju. Golongan seperti ini tak selayaknya mendabik urusan yang dia tidak mahukan dengan menafikan perintah Rasulullah SAW. Ada beberapa perkongsian di sini.

Pertama, kikislah perasaan bahawa dosamu tidak terampun seolah-olah kita menyamakan sifat Allah seperti manusia pula. Sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah SWT melangkaui sifat kasih dan sayang manusia yang tidak selamanya. Sebagaimana sifat Nya Ar-Razzaq (Maha Pemberi Rezeki), berbeza halnya dengan manusia yang bernama Razaq sekalipun maksudnya sama tetapi belum tentu dia pemurah untuk menyampaikan ‘rezeki’ kepada manusia. Boleh jadi manusia yang bernama Razaq memiliki sifat yang berlawanan dengan maksud namanya, boleh jadi sangat kikir dan kedekut.

Kedua, jika kita menolaknya, maka perhatikanlah kepada beberapa hadis ucapan Nabi SAW yang memerintahkan umatnya berkahwin, dan menjadi sunnah bagi perjuangan Baginda dan Baginda berbangga di akhirat kelak kerana umatnya yang ramai. Di sini, mengapa pula kita menolak sunnah Nabi jika kita mencintainya?

Ketiga, berkenaan dosa dan pahala, manusia sering tersalah hitung bahawa dia lupa. Apabila kebaikan yang dilakukan oleh suami maka pahala akan turut mengalir kepada isterinya, manakala sama juga keadaan bagi isterinya. Suami yang pergi menunaikan solat Jumaat, manakala isteri yang solehah di rumah menyiapkan makanan sambil bibirnya berzikir memuji Allah sentiasa, maka kedua-duanya beroleh manfaat bersama. Isteri beroleh manfaat pahala solat Jumaat suaminya, manakala suami beroleh manfaat pahala dari zikir isterinya yang solehah. Jadi, tidakkah kita berhasrat menggandakan pahala lagi?

Keempat, berbalik kepada dosa, kali ini berbeza sedikit. Dosa yang dilakukan oleh si suami, seperti merokok (sebagai contoh), maka dosa ditanggung oleh suaminya sahaja. Isteri yang tidak menutup aurat, selain dirinya (isteri) yang mendapat dosa, si suami juga menanggung dosa perbuatan isterinya. Bertuah menjadi wanita. Ya, sangat bertuah. Mereka paling mudah mendapatkan pahala. Tetapi mengapa pula Rasulullah SAW melihat ramainya wanita di neraka? Maka, wahai para suami. Mencapai pahala percuma tadi perlu juga diwaspadai daripada tersalah hitung, maka tarbiyahlah sebaiknya golongan wanita.

Lahirnya wanita solehah yang memberi barakah kepada suaminya. Wanita solehah dicemburui oleh lelaki yang soleh kerana mustajab doa dari wanita yang bergelar ibu kepada anaknya. Lihatlah bahawa kedudukan ibu cukup tinggi dengan hadis seorang ibu didahului berbanding lelaki. Wanita yang solehah lebih baik dari seorang lelaki soleh. Wanita solehah ibarat seekor merpati putih dari kalangan 200 ekor merpati hitam.

Itulah beruntungnya menjadi wanita. Tetapi ada wanita yang merungut mahu menjadi lelaki, ada juga yang sanggup menukar jantina.

Berbalik kepada golongan pertama yang disebut di awal tadi, janganlah berfikir bahawa sunnah Nabi ini ditafsirkan dengan semudahnya sebagai jalan melarikan diri dari melakukan amanah.

WANITA SOLEHAH ADALAH HARTA PALING BERHARGA - SUAMI

Seterusnya, perkara di sebalik perkahwinan bukanlah sekadar persiapan membina hidup bersama sahaja, tetapi sebagai penggerak kepada melahirkan daulah Islamiyah berasaskan pembinaan individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam dan pembentukan Khalifah Islam.

Tulisan : Azlan Kahlid

Kategori: Tazkirah

Komentar